SKUAD TFC gigih jalani latihan. FOTO TFC
SKUAD TFC gigih jalani latihan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Status saingan Piala AFC Kumpulan I yang sepatutnya berlangsung pada 30 Jun ini terus menimbulkan persoalan sama ada diteruskan, ditunda ataupun dibatalkan. Sehingga kini belum ada makluman rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah.

Situasi itu jelas menyaksikan kem pasukan Terengganu FC (TFC) kendalian Nafuzi Zain ternanti-nanti keputusan bakal diumumkan badan induk itu lebih-lebih lagi skuad Penyu kini bersemangat untuk membuat penampilan kedua di kejohanan itu selepas kali terakhir pada 2012.

Bagaimanapun, TFC yang berada dalam kumpulan sama dengan wakil Singapura, Geylang International FC, Kaya FC dari Filipina dan pemenang 'playof' antara wakil Kemboja, Visakha FC dan Lalenok United FC dari Timor Leste meletakkan harapan tinggi agar saingan kedua paling berprestij di Asia itu dapat diteruskan.

Ketua Pegawai Operasi TFC Mohd Sabri Abas berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, AFC dijangka akan mengumumkan status kejohanan itu minggu ini.

"Kami dapat maklumat AFC akan mengumumkan status kejohanan itu selewat-lewatnya pada minggu ini sama ada saingan itu diteruskan, ditangguh ataupun dibatalkan pada tahun ini.

"Namun kami di pihak TFC meletakkan harapan tinggi agar kejohanan bagi Zon Asean itu dapat diteruskan mengikut perancangan memandangkan kami sudah membuat persiapan rapi bermula pada awal musim lagi.

"Lagipun TFC sudah lama tidak beraksi di pentas tertinggi itu selain sudah banyak mengeluarkan kos untuk membentuk pasukan termasuk membeli pemain terbaik terutama pemain muda selain pemain import kerana fokus awal untuk bersaing dalam Piala AFC selepas menjadi wakil Malaysia musim ini.

"Besar harapan agar AFC tidak membatalkan kejohanan itu lebih-lebih lagi kami betul-betul serius untuk menghadapi saingan itu terutama selepas menjadi pasukan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjalani latihan secara 'camp based traning' bermula 24 Mei lalu dengan semuanya menelan perbelanjaan yang besar. Tidak berbaloi buat TFC yang sudah mengeluarkan kos akhirnya kejohanan itu dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:53 PM