Pemain TFC menjalani latihan secara berpusat atau 'camp based training' di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO TFC
Pemain TFC menjalani latihan secara berpusat atau 'camp based training' di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menafikan akan menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala AFC walaupun sehingga kini belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung status saingan itu daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Malah skuad Penyu yang diletakkan dalam Kumpulan I juga sedia 'terbang' ke negara yang bakal menjadi tuan rumah selain sedia beraksi biarpun tarikh kejohanan bakal ditunda.

Mengesahkan perkembangan itu pengurus pasukan, Zulfadli Rozi berkata, pemain kini berada pada tahap prestasi terbaik selain tidak sabar untuk beraksi kerana majoritinya bakal membuat penampilan pertama dalam kejohanan kedua paling berprestij di Asia itu.

"Ada yang tanya adakah TFC akan menarik diri daripada menyertai kejohanan AFC itu selepas sehingga kini belum ada jawapan rasmi daripada badan induk bola sepak Asia berhubung status kejohanan itu.

"Sebenarnya persoalan untuk menarik diri tidak pernah timbul kerana kita sudah bersiap sedia dari bulan Disember tahun lalu lagi dengan kos yang tinggi selain pihak pengurusan sudah melakukan banyak perkara ke arah itu semata-mata untuk menghadapi kejohanan berkenaan.

"Lagipun selepas diumumkan TFC mara ke pentas Piala AFC tahun lalu, kita begitu teruja selain merasakan ianya satu pengiktirafan tertinggi kepada TFC selepas hampir 10 tahun menanti untuk beraksi dalam saingan itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau difahamkan jawatankuasa AFC sudah mengadakan mesyuarat dan hasil mesyuarat itu telah diserahkan kepada badan induk AFC untuk dibawa ke mesyuarat Eksekutif AFC.

Ketika ditanya kenapa TFC tidak menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, beliau menegaskan situasi terkini wabak pandemik selain kerajaan mewajibkan tempoh kuarantin selama 14 hari menyukarkan kejohanan itu berlangsung di negara ini.

"Kita tidak menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kerana kita sedia maklum bahawa kes Covid-19 di negara kita masih lagi tinggi dan dalam masa yang sama negara kita berada dalam Sekatan Penuh Pergerakan (SPP) yang tidak pasti bila akan ditamatkan.

"Lagi satu syarat untuk menjadi tuan rumah sesebuah negara perlu membenarkan mana-mana individu atau pasukan menjalani kuarantin maksimum hanya selama 3 hari sahaja sedangkan negara mensyaratkan 14 hari tempoh kuarantin wajib, jadi sudah tentu ia tidak dapat dilangsungkan di negara kita.

"Namun kami yakin AFC bakal membuat keputusan bijak berhubung perkara itu sambil mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan AFC perlu mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan saingan itu diteruskan demi pembangunan bola sepak di rantau Asean ini," katanya.

Kejohanan itu sepatutnya dilangsungkan pada 30 Jun, namun kini menjadi tanda tanya selepas Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah membuat keputusan mengejut mengumumkan penarikan diri berikutan kebimbangan situasi wabak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:50 PM