REAKSI kecewa Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
REAKSI kecewa Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
AFP

Seville: Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata barisan pemainnya menangis di bilik persalinan selepas kekalahan 0-1 kepada Belgium yang 'tidak adil' di pusingan kedua Euro 2020, hari ini.

Gol tunggal Thorgan Hazard dari jarak 27 meter memberikan kemenangan kepada Belgium di Seville sekali gus menamatkan kempen Portugal serta Cristiano Ronaldo untuk melangkah ke suku akhir bertemu Itali.

"Saya rasa ia keputusan yang tidak adil tetapi lawan menjaringkan gol dan kami gagal melakukannya," kata Santos selepas tamat perlawanan.

"Mereka mempunyai enam peluang terbaik dan satu tepat ke sasaran. Kami mempunyai 29 peluang dan gagal menjaringkan walau satu gol.

"Barisan pemain saya sudah mencuba sebaik mungkin tetapi gagal menghasilkan gol. Inilah bola sepak.

"Kami sangat kecewa. Kami berasakan dapat memenangi kejohanan ini sekali lagi selepas 2016. Beberapa pemain saya menangis di bilik persalinan.

"Seluruh rakyat Portugal seharusnya berasa bangga dengan apa yang dipamerkan setiap pemain pada hari ini."

Cubaan Ronaldo pada separuh masa pertama menerusi sepakan percuma dari jarak jauh berjaya dinafikan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Ia bermakna, penyerang Juventus itu pulang dengan meledak lima gol pada kempen kali ini tetapi gagal memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Ronaldo masih kekal menyamai rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman dengan 109 gol bersama legenda Iran, Ali Daei.

"Dia tidak menjaringkan gol hari ini tetapi dia adalah kapten sebenar," kata Santos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:22 AM