REAKSI pemain Portugal selepas tewas 0-1 kepada Belgium di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO EPA
REAKSI pemain Portugal selepas tewas 0-1 kepada Belgium di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO EPA
AFP

Seville: Jurulatih Portugal, Fernando Santos menyifatkan juara bertahan itu tersingkir daripada Euro 2020, semalam kerana kurang bernasib baik dan gagal menyempurnakan peluang menjaringkan gol.

Tetapi, pengkritik menyifatkan kegagalan memanfaatkan limpahan bakat serangan adalah punca sebenar mereka tewas 0-1 di tangan Belgium di pusingan kedua, walaupun mendominasi permainan.

Belgium mempertahankan kedudukan 1-0 menerusi rembatan kencang Thorgan Hazard pada hujung babak pertama, sekali gus melangkah ke suku akhir menentang Itali di Munich, Jumaat ini.

Mereka berpeluang menjaringkan gol kedua menerusi serangan balas, tetapi kemudian bertahan pada ketika Portugal melancarkan serangan bertali arus dan mendominasi babak akhir aksi pusingan kedua itu.

"Saya fikir, ia keputusan tidak adil, tetapi mereka menjaringkan gol manakala kami tidak," kata Santos. "Gol mereka adalah hasil rembatan dari luar kotak penalti. Kami tidak mampu mengawal semuanya."

Tetapi, pada ketika statistik menunjukkan Portugal melakukan 24 percubaan termasuk enam tepat ke sasaran, rentak perlawanan menunjukkan Belgium lebih bercita-cita sehinggalah terpaksa bertahan apabila lawan mereka meningkatkan permainan dalam keadaan terdesak.

Portugal bermula dengan bakat bernilai lebih 200 juta euro (RM993 juta) untuk tiga pemain depan mereka iaitu Cristiano Ronaldo dibantu pemain Liverpool, Diogo Jota dan Bernardo Silva dari Manchester City.

Apabila ketinggalan, trio bernilai RM993 juta membabitkan Bruno Fernandes, Joao Felix dan Andre Silva dimasukkan menggantikan Jota, Bernardo Silva dan Joao Moutinho.

Trio Perancis, Kylian Mbappe, Karim Benzema dan Antoine Griezmann mungkin paling tajam, tetapi skuad juara dunia itu tidak dapat menandingi keseimbangan pilihan barisan serangan Portugal.

Tetapi aksi mereka kurang lancar di La Cartuja apabila pemain yang cemerlang bersama kelab kelihatan dibebankan dengan tugas untuk bertahan dan struktur pasukan terlebih dahulu.

Terdapat kekangan sendiri apabila Fernandes jelas keletihan di kejohanan ini apabila mencecah 70 penampilan sebaik beraksi di peringkat kumpulan.

Prestasi Felix pula tidak menentu beberapa bulan lalu dan perlu bangkit selepas banyak diletakkan sebagai pemain simpanan pada ketika Atletico Madrid menjuarai La Liga dan digugurkan daripada skuad Portugal.

Pada masa sama, mereka berdepan bentang berpengalaman Belgium, yang mungkin sudah melepasi zaman gemilang tetapi masih mampu bertahan dengan tersusun dan komited apabila berdepan tekanan.

Selepas melepasi Jerman dan Perancis di peringkat kumpulan, juara bertahan itu berdepan Belgium iaitu pasukan nombor satu dunia dan dianggap cabaran paling besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:35 PM