PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo tertunduk kecewa selepas tersingkir daripada Euro 2020 berikutan tewas 0-1 di tangan Belgium, semalam. FOTO AFP
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo tertunduk kecewa selepas tersingkir daripada Euro 2020 berikutan tewas 0-1 di tangan Belgium, semalam. FOTO AFP
AFP

Lisbon: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo berkata, dia bangga dengan usaha ditunjukkan juara bertahan itu sekalipun tersingkir daripada saingan Euro 2020 selepas tewas 0-1 kepada Belgium di pusingan kedua, semalam.

"Kami tidak mencapai keputusan dimahukan dan meninggalkan kejohanan lebih awal," kata bintang Juventus berusia 36 tahun yang memenangi gelaran Ballon d'or sebanyak lima kali itu, pada ketika mereka gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi pada 2016.

"Tetapi, kami bangga dengan persembahan pasukan. Kami melakukan yang termampu untuk mempertahankan gelaran juara Eropah dan kumpulan ini membuktikan masih menggembirakan rakyat Portugal," tulis bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu di media sosial selepas kekalahan semalam.

"Tahniah kepada Belgium dan selamat maju jaya kepada semua pasukan masih bersaing. Kami akan datang semula dengan lebih kuat lagi," kata pemain veteran itu yang mencipta pencapaian peribadi di Euro 2020 apabila menyamai rekod 109 gol antarabangsa dengan penyerang Iran, Ali Daei.

Di Euro 2020, Ronaldo menjaringkan lima gol dna menjadikan keseluruhan 14 jaringan yang juga rekod di Kejuaraan Eropah.

Dia menyamai pencapaian Daei dengan dua gol ketika seri 2-2 dengan juara dunia, Perancis, di Kumpulan F.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:50 PM