UEFA akan tetap menyiasat Arnautovic yang didakwa melontarkan kata-kata bersifat perkauman. FOTO AFP
UEFA akan tetap menyiasat Arnautovic yang didakwa melontarkan kata-kata bersifat perkauman. FOTO AFP

Lausanne: UEFA pada Selasa lalu membuka siasatan tatatertib ke atas pemain Austria, Marko Arnautovic kerana menghina pemain Macedonia Utara pada perlawanan Euro2020 Ahad lalu.

Arnautovic meledakkan gol ketiga Austria ketika negara itu melakarkan kemenangan 3-1 di Bucharest dan kemudiannya meraikan kejayaan dalam keadaan tidak sepatutnya sehingga rakan pasukan David Alaba terpaksa campur tangan untuk menenangkannya.

Media melaporkan bahawa dia menghina Ezgjan Alioski, merujuk kepada hubungan pemain itu dengan keturunan Albania.

Dia bagaimanapun mengeluarkan permohonan maaf semalam namun itu tidak cukup untuk menghentikan UEFA daripada melantik pegawai untuk menyiasat "insiden yang membabitkan pemain Marko Arnautovic."

"Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan pada masa yang sesuai," kata badan induk bola sepak Eropah itu.

Menerusi Instagram miliknya, Arnautovic tidak menjelaskan kata-kata dikeluarkannya ketika itu. - AFP

"Terdapat beberapa perkataan yang penuh emosi dikeluarkan dalam perlawanan semalam dan saya ingin memohon maaf terutama kepada rakan saya dari Macedonia Utara dan Albania," kata bekas pemain Stoke City dan West Ham United dalam media sosial semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 8:24 PM