ARNAUTOVIC sumbang dua gol ketika seri dengan Brighton lapan hari lalu. - Foto Agensi
ARNAUTOVIC sumbang dua gol ketika seri dengan Brighton lapan hari lalu. - Foto Agensi
AFP

LONDON: West Ham menegaskan bintang serangan Marko Arnautovic tidak akan dijual di sebalik minat ditunjukkan kelab Liga Super China terhadap pemain Austria itu.

Kelab China yang tidak dinamakan itu mahu membeli Arnautovic dengan harga £35 juta (RM183 juta) minggu ini.

Ejen pemain itu yang juga abangnya Danijel Arnautovic menyatakan semalam pemain itu “amat berharap West Ham menerima tawaran dari China itu.”

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana Inggeris itu enggan kehilangan pemain berusia 29 tahun itu, yang muncul penjaring terbanyak bersama kelab dengan lapan gol musim ini.

“Marko Arnautovic mempunyai kontrak dan kami amat berharap dia benar-benar menghormatinya. Dia tidak akan dijual,” menurut West Ham dalam satu kenyataan.

Shanghai SIPG dikatakan pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya dan dilaporkan sedia menawarkan gaji £200,000 (RM1.04 juta) seminggu dengan kontrak empat tahun.

Arnautovic menyertai Hammers dari Stoke City dengan harga £20 juta (RM104.5 juta) pada musim panas 2017 dan memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu selepas meledak 11 gol dalam musim sulungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 11:53 AM