BARISAN pemain England sedang menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain England sedang menjalani latihan. FOTO AFP
Agensi

London: Slaven Bilic mempersoalkan mentaliti barisan pemain England menjelang aksi pembuka tirai Euro 2020 bertemu Croatia, esok.

England pernah mendahului Croatia pada aksi separuh akhir Piala Dunia tiga tahun lalu.

Bagaimanapun di sebalik memperoleh gol awal, jaringan Ivan Perisic dan Mario Mandzukic akhirnya mengubah situasi memihak kepada Croatia.

Bilic yakin keputusan mencewakan itu masih lagi menghantui skuad bimbingan Gareth Southgate pada aksi esok di Stadium Wembley.

Bekas pengurus Croatia dari 2006 sehingga 2012 itu ditanya apakah yang menentukan kemenangan atau kekalahan England perlawanan esok.

"Mentaliti. Masih ingat lagi separuh akhir Piala Dunia 2018? Pada separuh masa pertama England mendominasi perlawanan di mana mereka mendahului 1-0 dan sepatutnya mampu di depan 2-0.

"Bagaimanapun selepas kami menjaringkan gol penyamaan, segala-galanya berakhir.

Bilic menambah: "Pada 2018 hanya dua pemain kesebelasan utama Croatia yang beraksi di separuh akhir tidak beraksi di bawah bimbingan saya sebelum meninggalkan pasukan pada 2012.

"Bermakna pasukan itu sudah melalui pelbagai situasi sedih, menangis dan gembira bersama. Sudah pasti itu akan membantu mereka.

"Katakanlah perlawanan esok England mendahului 1-0, saya yakin Croatia boleh bangkit selepas pernah melakukannya pada 2018.

"Sudah pasti England adalah pasukan pilihan tetapi apabila berlangsungnya perlawanan besar, Croatia mempunyai kualiti dan keberanian yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:39 AM