BILIC tidak berfikir panjang menerima tawaran West Brom. — FOTO Reuters
BILIC tidak berfikir panjang menerima tawaran West Brom. — FOTO Reuters
Reuters

WEST Bromwich Albion melantik bekas bos Croatia dan West Ham United, Slaven Bilic sebagai ketua jurulatih baharu mereka dengan kontrak dua tahun, umum kelab Liga Kejuaraan itu hari ini.

Bilic, 50, kembali ke England selepas lima bulan mengendalikan kelab Arab Saudi, Al Ittihad, susulan beliau dipecat kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham pada November 2017.

Pengendali dari Croatia itu, yang turut beraksi di England bersama West Ham dan Everton, ditugaskan mengemudi West Brom kembali ke liga utama selepas mereka gagal musim lalu apabila kalah pada separuh akhir playoff di tangan musuh West Midlands, Aston Villa.

“Kami mahu meningkat di tengah padang dan Albion meyakinkan saya mereka mahu kembali ke Liga Perdana. Albion mempunyai projek jangka pendek dan jangka panjang tapi ia tidak bertindan,” kata Bilic dalam laman web kelab itu.

“Mereka mahu saya mengemudi mereka, membantu meningkatkan permainan pasukan. Mereka menjelaskan mereka mahukan saya untuk mengemudi semua ini dan saya tidak berfikir dua kali sebaik mereka bercakap dengan saya.”

Bilic menggantikan Darren Moore, yang dipecat pada Mac lalu dengan Albion menghuni tangga keempat divisyen dua.

Bos sementara Jimmy Shan mengemudi kejayaan mereka menghuni tangga keempat liga dan layak ke playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:05 AM