KANE kini bersiap sedia untuk aksi pembuka tirai kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech awal pagi Sabtu. FOTO AFP
KANE kini bersiap sedia untuk aksi pembuka tirai kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech awal pagi Sabtu. FOTO AFP
Reuters

Sekiranya England menjuarai Liga Negara-Negara Eropah tahun ini, ia pastinya kejayaan lebih besar berbanding kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia di Russia tahun lalu, kata kaptennya Harry Kane hari ini.

England bertemu Belanda dalam pertembungan separuh akhir Liga Negara-Negara pada 6 Jun untuk berdepan sama ada juara Eropah, Portugal atau Switzerland pada perlawanan akhir di Porto tiga hari kemudian.

“Peluang menjulang trofi dengan jersi England bukan selalunya berlaku,” kata penyerang itu.

“Jika kami menang trofi, pada pandangan saya ia jauh lebih baik berbanding 2018.”

Kane kini bersiap sedia untuk aksi pembuka tirai kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech awal pagi Sabtu dan Montenegro awal pagi Selasa.

England mendahului kumpulan kelayakan Liga Negara-Negara yang turut disertai juara dunia 2010 Sepanyol dan naib juara 2018, Croatia.

Tahun lalu mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 sebelum tewas 1-2 kepada Croatia pada masa tambahan.

“Saya harap kami boleh menjulang trofi. Sudah pastilah 2018 memang menakjubkan tetapi bagi saya paling penting, kami mahu menang gelaran,” kata Kane yang memenangi anugerah kasut emas di Russia sebagai penjaring terbanyak dengan enam gol.

“Orang ramai kini berharap kami beraksi cemerlang dan tiada jangkaan diletakkan sebelum Piala Dunia, jadi sesuatu yang hebat kami dapat mengubahnya,” Kane dilaporkan sebagai berkata oleh BBC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:08 AM