SOUTHGATE (kanan) akui England sudah bersedia untuk Euro 2020. FOTO England Football Team
SOUTHGATE (kanan) akui England sudah bersedia untuk Euro 2020. FOTO England Football Team
AFP

London: Selepas pernah merasai aura separuh akhir sebanyak dua kali, pengurus England, Gareth Southgate berkata beliau dan pasukan akan gagal jika tidak dapat melangkah ke peringkat sama pada Euro 2020.

Skuad bimbingan Southgate menafikan keraguan ramai terhadap mereka apabila berjaya melangkah sehingga separuh akhir Piala Dunia 2018.

England diundi bersama Croatia yang menewaskan mereka di separuh akhir Piala Dunia, Republik Czech dan seteru lama, Scotland.

Mereka mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri dalam semua perlawanan peringkat kumpulan di Wembley.

"Ya, ia mungkin boleh berlaku," kata Southgate ketika ditanya adakah satu kegagalan jika gagal melangkah ke separuh akhir.

"Saya rasa kami lebih bersikap realistik. Kami perlu menggalas harapan itu.

"Adakah kami sudah bersedia untuk menang? Kami sudah melangkah dua aksi separuh akhir, jadi yang seterusnya adalah melangkah lebih jauh daripada itu."

Southgate gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Euro 1996 ketika bertemu Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:22 PM