BARISAN pemain negara menjalani sesi latihan ringan. FOTO FAM
BARISAN pemain negara menjalani sesi latihan ringan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya skuad Harimau Malaya mampu mencapai kemenangan dalam dua baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam dan Thailand.

Katanya, pesaing dari dua negara Asia Tenggara itu dilihat memiliki kekuatan yang setara dengan pasukan kebangsaan berbanding ketika tewas menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Jelasnya, berdasarkan kedudukan ranking dunia juga, UAE jauh lebih baik daripada pasukan di rantau ini yang memungkinkan misi memungut mata lebih terbuka buat anak didik Tan Cheng Hoe.

"Perlawanan selepas ini lebih mudah kalau nak dibandingkan dengan perlawanan semalam (Jumaat lalu). UAE ranking 73 (di dunia).

"Mereka ada dua pemain naturalisasi daripada Brazil yang berkualiti. Perlawanan dengan Thailand dan Vietnam tidak mudah, tetapi kita ada peluang untuk mencabar," katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagramnya, Sabtu lalu.

Dalam aksi dengan UAE, Malaysia tewas 0-4 menerusi dua jaringan Ali Makhbout dan dua lagi melalui penyerang naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima.

Skuad kebangsaan akan meneruskan kempen menentang Vietnam pada Jumaat ini di Stadium Al Maktoum, Dubai sebelum menamatkan saingan kelayakan dengan bertemu Thailand di venue yang sama empat hari kemudian.

Hasil kekalahan itu, kedudukan skuad negara jatuh ke tangga keempat selepas dipintas UAE dan Thailand yang turut memungut mata sama iaitu sembilan mata namun dibezakan menerusi perbezaan jumlah gol, manakala Vietnam (11 mata) di posisi pertama sementara Indonesia tangga kelima (satu mata).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:23 PM