ACUNA meraikan jaringan kemenangan Sevilla. FOTO AFP
ACUNA meraikan jaringan kemenangan Sevilla. FOTO AFP
AFP

Madrid: Atletico Madrid sekali lagi kecewa dalam saingan La Liga selepas tewas 0-1 kepada Sevilla pagi tadi sekaligus memberikan Barcelona peluang untuk merapatkan jurang kepada hanya satu mata di belakang pendahulu liga itu.

Marcos Acuna menanduk gol kemenangan tuan rumah di Ramon Sanchez Pizjuan dengan cengkaman Atletico di puncak semakin longgar manakala pencabar terdekat yang terus konsisten memanfaatkan peluang.

Real Madrid hanya tiga mata di belakang selepas menewaskan Eibar semalam dan Barcelona berpeluang mengurangkan jurang daripada empat mata kepada satu mata jika menang di tempat sendiri menentang Real Valladolid esok.

Ini bermakna perebutan kejuaraan semakin sengit, dua bulan selepas Atletico selesa 10 mata di atas Barca dan Madrid serta berkelebihan satu perlawanan.

Mereka kini hanya menang empat kali daripada 12 aksi terakhir dan tersekat dalam saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Chelsea manakala kedudukan sebagai pendahulu liga turut dalam bahaya.

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Alaves dua minggu lalu, Diego Simeone mungkin berharap rehat antarabangsa dapat memberikan peluang kepada pemainnya kembali bertenaga.

Sebaliknya, mereka sekali lagi dikecewakan Sevilla yang menguatkan kedudukan di tangga keempat malah berpeluang menduduki kelompok tiga teratas.

Sevilla berhak menang dengan jaringan lebih besar jika Lucas Ocampos menyempurnakan penalti yang diselamatkan penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Tetapi Acuna meledak jaringan ketika permainan berbaki 20 minit dengan menanduk masuk hantaran Jesus Navas. Atletico hampir menyamakan kedudukan pada minit akhir namun percubaan Angel Correa diselamatkan penjaga gol Sevilla, Bono.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 9:23 AM