IBORRA (kanan) jaring gol ketiga buat Sevilla.
IBORRA (kanan) jaring gol ketiga buat Sevilla.

Madrid: Sevilla mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga La Liga hasil jaringan hatrik Vicente Iborra bagi membolehkan pasukannya menang 3-0 ke atas Celta Vigo.

Iborra dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa oleh jurulatih Jorge Sampaoli selepas Sevilla menempah tiket ke-16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara apabila seri tanpa jaringan dengan Lyon minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain itu segera mencetus impak dengan menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan penjuru Pablo Sarabia pada minit ke-51.

Pemain tengah itu kemudiannya meluru untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka enam minit sebelum tamat perlawanan dan menambah satu lagi penalti pada masa penamat untuk merekodkan hatrik pertama sepanjang kariernya.

Kemenangan itu meletakkan Sevilla lima mata mendahului Atletico Madrid di tangga kelima, yang berkunjung ke Villareal dan empat mata mendahului Real Sociedad di tangga keempat.

Sevilla hanya satu mata di belakang Barcelona dan tujuh mata ketinggalan berbanding pendahulu Real Madrid selepas masing-masing menewaskan Osasuna dan Deportivo la Coruna kelmarin.

Espanyol akan membawa rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam La Liga menjelang pertemuan dengan Barca hujung minggu depan selepas kemenangan 2-1 ke atas Sporting Gijon membawa mereka ke tangga kesembilan.

Hanya dua mata memisahkan pasukan di tangga keenam dan ke-12 apabila Athletic Bilbao terlepas peluang berada dalam kelompok empat teratas dengan kekalahan 0-1 ke atas Real Betis hasil gol awal Ruben Castro.

Pencabar Basque Eibar dan Alaves kekal terikat di pertengahan liga selepas seri tanpa jaringan di Stadium Ipurua. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:51 AM