Pengendali Barcelona, Ronald Koeman bersalam dengan Lionel Messi selepas satu perlawanan sebelum ini. FOTO Agensi
Pengendali Barcelona, Ronald Koeman bersalam dengan Lionel Messi selepas satu perlawanan sebelum ini. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Barcelona tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan Ronald Koeman dari tugasnya sebelum bermula musim 2021-22, menurut beberapa laporan.

Bekas bos Belanda menyaksikan pasukannya tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara selepas dimalukan di laman sendiri oleh Paris Saint-Germain, selain dilaporkan belum berjaya menawan hati peminat kelab gergasi Sepanyol itu.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat dengan presiden baharu, Joan Laporta laporan media memberitahu perbincangan antara mereka berjalan positif dan Koeman masih diberi kepercayaan mengendalikan skuad itu bagi musim baharu.

Menurut laporan itu lagi, bos Barca berkenaan turut diberi kuasa untuk mempertimbangkan sebarang usaha membawa masuk pemain berpotensi ke kelab itu.

Laporta dikatakan akan mengadakan perbincangan bersama pengendali berusia 58 tahun itu dalam tempoh rehat antarabangsa ketika ini dalam usaha membincangkan sasaran perpindahan.

Pemain Lyon, Memphis Depay dilaporkan mempunyai kaitan kuat bersama bekas bos pasukan kebangsaannya, ketika spekulasi mengenai perpindahan rakan senegara Georginio Wijnaldum turut diperkatakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 9:44 PM