PEMAIN Barca tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika aksi menentang Cadiz. FOTO EPA
PEMAIN Barca tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika aksi menentang Cadiz. FOTO EPA
AFP

Madrid: Barcelona mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan selepas seri 0-0 menentang Cardiz sekali gus menjadikan kedudukan Ronald Koeman sebagai jurulatih semakin goyah.

Frenkie de Jong diperintah keluar pada minit ke-65 di Stadium Ramon de Carranza namun berjaya bertahan dengan keputusan seri membolehkan Koeman mendapat sedikit pujian, tatkala beliau juga dilayangkan kad merah ketika masa kecederaan.

Ia menjadi tanda tanya sama ada Koeman kekal dengan jawatannya di Barca menjelang aksi menentang Levente Ahad ini tapi ia bakal memberi satu lagi masalah untuk mencari penggantinya, jika tidak beliau akan terus kekal mengendalikan pasukan.

"Anda akan sentiasa mencuba untuk memenangi setiap perlawanan tapi anda harus realistik, anda perlu melihat skuad yang kami miliki, pemain yang sudah hilang," kata Koeman.

Barcelona setakat ini sudah ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid, walaupun kurang satu perlawanan.

Mereka juga bermula dengan buruk di Liga Juara-Juara minggu lalu selepas kalah 0-3 dalam perlawanan pembukaan menentang Bayern Munich.

Seri 1-1 menentang Granada Selasa lalu tidak banyak meningkatkan semangat mereka, dengan Koeman dikritik hebat selepas tamat aksi kerana meletakkan pertahanan tengah, Gerard Pique dan Ronald Araujo di bahagian serangan.

Kecewa dengan gaya pasukan dan keraguan mengenai masa depannya mendorong Koeman untuk memberikan reaksi kurang menyenangkan dalam sidang media.

Beliau enggan menjawab soalan, sebaliknya membaca kenyataan media yang meminta agar semua bersabar dan menegaskan proses membangunkan semula pasukan 'wajar mendapat sokongan tanpa syarat'.

Perkara itu boleh diambil sebagai pesanan yang jelas buat presiden kelab, Joan Laporta, namun beliau enggan tertarik mengenai masa depan Koeman sebelum aksi menentang Cadiz.

Laporta memberitahu wartawan tidak ada yang akan diputuskan berdasarkan keputusan perlawanan saja, sambil mengakui jika kita harus mengambil keputusan pada waktu tertentu, mereka akan melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 9:03 AM