REAKSI kecewa Ronaldo pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
REAKSI kecewa Ronaldo pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

Milan: Harapan Juventus untuk memenangi kejuaraan Serie A buat kali ke-10 berturut-turut semakin sukar selepas tewas 0-1 kepada kelab bawahan, Benevento.

AC Milan pula merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Inter Milan menerusi kemenangan 3-2 ke atas Fiorentina.

Adolfo Gaich menjaringkan gol tunggal untuk Benevento minit ke-69 di Stadium Allianz.

Skuad bimbingan Andrea Pirlo kini menduduki tempat ketiga, ketinggalan 10 mata di belakang Inter yang menyaksikan perlawanan mereka dengan Sassuolo terpaksa ditangguhkan kerana terdapat kes Covid-19 dialami pendahulu liga itu.

AC Milan menduduki tempat kedua, empat mata mengatasi Juventus selepas tersingkir daripada saingan Liga Europa kepada Manchester United.

Bagi Juventus yang masih berbaki 11 perlawanan musim ini, ia adalah satu lagi tamparan hebat selepas disingkirkan Porto pada saingan Liga Juara-Juara awal bulan ini.

"Kami beraksi sangat teruk di setiap aspek.

"Kami harus terus kekal percaya mampu memenangi kejuaraan liga. Matlamat ini tidak akan berubah," kata Pirlo.

Penjaring terbanyak Serie A, Cristiano Ronaldo yang sudah meledak 23 gol pada musim ini, buntu untuk mendapatkan gol, seminggu selepas meraih 770 gol untuk mengatasi rekod 767 jaringan paling banyak sepanjang zaman milik Pele.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 11:21 AM