ALVARO Morata (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
ALVARO Morata (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Milan: Juventus sekali lagi menunjukkan kebergantungan mereka kepada Cristiano Ronaldo selepas sekadar seri 1-1 ketika bertemu Benevento tanpa khidmat bintang Portugal itu.

Keputusan seri kali kelima dalam sembilan perlawanan liga menyaksikan skuad bimbingan Andrea Pirlo menduduki tangga kelima, tiga mata di belakang pendahulu Serie A, AC Milan.

Ronaldo tidak beraksi selepas menjaringkan gol ketika Juventus melakar kemenangan 2-1 ke atas Ferencvaros, Selasa lalu sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.

"Setiap pasukan amat perlukan Ronaldo, malah di Real Madrid dia menjaringkan banyak gol," kata Pirlo.

"Dia pemain yang penting dan adalah sesuatu yang biasa apabila dia membantu pasukan meraih kemenangan. Tapi meskipun tanpa Ronaldo, kami perlu beraksi dengan baik untuk menang."

Alvaro Morata dan Paulo Dybala bergandingan di jentera serangan selepas ketiadaan Ronaldo dengan Pirlo menyatakan pemain itu tidak diturunkan kerana kepenatan.

"Ronaldo berdepan sedikit masalah dan dia mahu beraksi pada mana-mana perlawanan di Liga Juara-Juara.

"Dia sudah beraksi banyak kali bersama skuad kebangsaan. Adalah sesuatu yang normal untuknya berasa penat dan mahu berehat," kata Pirlo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 9:15 AM