GOULON (kiri)  tidak berhadapan masalah dengan posisi barunya. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
GOULON (kiri) tidak berhadapan masalah dengan posisi barunya. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh menjelaskan bahawa pemain pertahanan import, Herold Goulon tiada masalah untuk mengetuai bahagian tengah pasukan itu.

Dollah yang kini memangku tugas selaku ketua jurulatih berkata, perubahan itu tidak memberi kesan pada prestasi pemain import kelahiran Perancis itu.

"Goulon tidak berhadapan masalah dengan posisi barunya itu dan saya percaya bukan sahaja Goulon, malah semua pemain akan memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan.

"Perubahan posisi itu juga lebih kepada mengukuhkan lagi jentera pertahanan yang longgar pada tiga perlawanan sebelumnya.

"Saya berpuas hati apabila perubahan yang dilakukan menjadi dan lebih menggembirakan memberikan kemenangan pertama pasukan ketika menewaskan Sabah FC, Selasa lalu," katanya.

Mengulas persembahan pemain import, Lee Tuck, Dollah memuji komitmen pemain tengah itu yang kembali berada pada prestasi terbaik.

Katanya, jika dilihat pada dua perlawanan ketika berdepan Selangor FC dan Perak FC lalu, Tuck gagal menyerlah walaupun berusaha bangkit pada aksi berdepan Melaka United.

"Bagaimanapun, dia membuktikan prestasi terbaik ketika membantu pasukan mencatat kemenangan pertama ke atas Sabah.

"Saya sangat berpuas hati selepas dua perlawanan dia agak terumbang ambing prestasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 5:40 PM