AGUERO dipinjamkan ke Perak II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini selama semusim. FOTO NSTP
AGUERO dipinjamkan ke Perak II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini selama semusim. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mengesahkan penyerang import dari Argentina, Sergio Aguero dipinjamkan ke Perak FC II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pasukan itu berterima kasih kepada pengurusan Perak II di atas persetujuan.

"Selepas mengambil kira pelbagai faktor, Aguero dipinjamkan ke Perak II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini selama semusim.

"Namun, jika prestasi Aguero berada pada tahap terbaik, dia mungkin bersama Perak FC sekali gus dapat beraksi di Liga Super.

"Sri Pahang mendoakan semoga Aguero dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Sebelum ini, Sri Pahang membuat keputusan mengambil penyerang import dari Ukraine Yevhen Bokhashvili untuk mempertajamkan jentera serangan pasukan itu.

Berikutan itu, Sri Pahang yang sudah memenuhi kuota lima import memutuskan Aguero dipinjamkan ke kelab lain untuk memastikan dia bermain.

Selain Bokhashvili, empat import yang menyertai Sri Pahang musim ini ialah Herold Goulon, Mamadou Wague, Lee Tuck dan Pedro Henrique.

Musim ini turut menyaksikan Sri Pahang mempertaruhkan jurulatih import, Thomas Dooley dari Jerman manakala Dollah Salleh pula dilantik sebagai pengurus pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 1:50 PM