Aksi Herold Goulon (kanan) dalam salah satu perlawanan Liga Super. FOTO Sri Pahang FC
Aksi Herold Goulon (kanan) dalam salah satu perlawanan Liga Super. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh percaya pasukan itu akan tampil lebih mantap apabila berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen pemain termasuk kehadiran pertahanan import, Herold Goulon.

"Goulon tidak beraksi ketika Sri Pahang tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu kerana mengalami kecederaan paha.

"Bagaimanapun, kehadiran Goulon dalam pasukan amat dinantikan untuk mengukuhkan jentera pertahanan selain prestasi mantap yang dipersembahkan pemain muda.

"Pada masa sama, kehadiran Abdul Malik Mat Ariff dan Zuhair Aizat Mohd Nazri bakal menyaksikan perubahan positif dalam pasukan," katanya.

Dollah berkata, tempoh seminggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan jentera pasukan terutama di bahagian serangan.

Katanya, masalah ketumpulan di bahagian serangan yang dihadapi selepas sembilan perlawanan diharap berakhir apabila berdepan Penang.

"Memang Penang dilihat prestasi mereka lebih baik berbanding Sri Pahang tetapi saya percaya pemain mampu melakukan yang lebih baik buat pasukan.

"Tiada yang mustahil selepas mempamer prestasi terbaik mereka walaupun tewas kepada JDT minggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 2:16 PM