GAMEL pernah membimbing skuad kebangsaan Fiji. FOTO Agensi
GAMEL pernah membimbing skuad kebangsaan Fiji. FOTO Agensi
Asrol Awang


Kuantan: Bekas jurulatih kebangsaan Fiji, Christophe Gamel sah dilantik selaku penolong jurulatih import Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini.

Pengesahan Gamel berasal dari Perancis itu diumum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang, hari ini.

"Gamel sudah berada di Kuantan selepas menamatkan tempoh kuarantin. Kehadiran Gamel sememangnya dinantikan dalam usaha memperkasakan Sri Pahang FC musim ini.

"Pemilihan Gamel, 48 juga atas persetujuan ketua jurulatih (Thomas Dooley) yang ingin mendapatkan khidmat bekas jurulatih Fiji itu.

"Pada masa sama, Dooley bukan sahaja dibantu Gamel, malah Ahmad Yusof turut dilantik sebagai penolong jurulatih Sri Pahang musim ini.

"Dengan dibantu dua penolong jurulatih, Sri Pahang mengharapkan pencapaian terbaik akan diraih pasukan yang diketuai Dooley," katanya.

Setakat ini, selain Dooley selaku ketua jurulatih dibantu Gamel dan Ahmad, Sri Pahang melantik Dollah Salleh sebagai pengurus pasukan.

Gandingan empat individu yang berpengalaman itu diyakini memberi impak positif ketika Sri Pahang mahu melakar pencapaian gemilang musim ini.

Justeru, Mohammed Suffian mengharapkan sentuhan Dooley akan memperlihatkan bahawa Sri Pahang berada pada prestasi terbaik dalam mengharungi saingan Liga M musim ini.

Mengulas dua kuota import yang masih belum diisi, beliau berkata, pasukan itu masih mengenal pasti pemain yang bakal beraksi di bahagian serangan dan pertahanan.

"Setakat ini, ada beberapa pemain yang menjadi pilihan tetapi kita tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

"Apa yang boleh saya katakan ialah Sri Pahang lebih berminat mendapatkan penyerang dari Asia Tenggara manakala Asia pula akan beraksi di posisi pertahanan," katanya.

Ketika ini, tiga daripada lima kuota import sudah diisi iaitu Sergio Aguero, Lee Tuck dan Herold Goulon yang masing-masing beraksi di posisi serangan, tengah dan pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 3:12 PM