Aksi pemain Sri Pahang (kanan) menghalang pemain Sabah pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Aksi pemain Sri Pahang (kanan) menghalang pemain Sabah pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, misi tuan rumah yang menyasarkan tiga mata dapat dilihat apabila memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan sebaik perlawanan bermula.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi Lee Tuck tetapi bola tendangan pemain tengah itu berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Robson Rining pada minit ke-13.

Sabah yang bertandang ke tempat lawan berusaha untuk memasuki kawasan kotak penalti tuan rumah namun dinafikan pertahanan tuan rumah.

Babak kedua menyaksikan, penyerang Sabah, Sam Johnson yang hanya berhadapan penjaga gol Sri Pahang, Zafri Irfan Hashimuddin mempersia-siakan peluang itu apabila bola sedikit tersasar di sebelah kanan gol pada minit ke-48.

Pada minit ke-55, penyerang import Yevhen Bokhashvilli menceriakan pasukan Sri Pahang apabila menjaringkan gol pendahuluan.

Lee Tuck menambah kekecewaan Sabah apabila menjaringkan gol kedua buat pasukan tuan rumah pada minit ke-70.

Minit ke-80, Saddil Ramdani menjaringkan gol sekali gus merapatkan jurang gol 1-2 tetapi ia sudah terlambat yang menyaksikan Sri Pahang mencatat kemenangan pertama liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 11:17 PM