Pemain Sri Pahang, Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri (kanan) melepasi pemain Sabah FC dalam perlawanan Liga Super. FOTO Mohd Adam Arinin
Pemain Sri Pahang, Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri (kanan) melepasi pemain Sabah FC dalam perlawanan Liga Super. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penyerang import Sabah, Josip Ivancic menyelamatkan Sabah Football Club (FC) daripada mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila 'sepakan terakhir perlawanan' yang dilakukannya berjaya menghasilkan gol sekali gus mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Aksi babak pertama memperlihatkan Sri Pahang lebih banyak menguasai permainan namun hanya banyak berlegar di kawasan luar kotak penalti tuan rumah.

Sebaliknya, Sabah dilihat lebih berbahaya setiap kali melakukan serangan termasuk cubaan Ivancic pada minit ke-5 hasil hantaran tepat daripada Levy Clement Madinda.

Bagaimanapun, cubaan Ivancic yang hanya berdepan penjaga gol tidak berjaya disempurnakan dengan baik dan dinafikan oleh ketangkasan Mohd Helmi Eliza Elias.

Sepakan sudut selepas itu juga hampir meletakkan pasukan tuan rumah di depan namun cubaan Risto Mitrevski yang tidak dikawal berjaya ditampan Helmi.

Seorang lagi pemain import Sabah, Saddil Ramdani juga hampir menghasilkan gol menarik buat pasukannya pada minit ke-36, namun cubaan lencongnya hanya sedikit tersasar.

Penghujung aksi separuh masa pertama juga menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang namun kedudukan tanpa jaringan itu kekal sehingga waktu rehat.

Bermula babak kedua, skuad Badak meneruskan ancaman mereka terhadap Sri Pahang dan pemain berpengalaman hampir meledak gol pada minit ke-15, namun, cubaan akrobatiknya sekadar singgah di tiang gol walaupun Helmi sudah pun tertewas.

Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-57 hasil satu gerakan menarik antara Madinda dan Amri sebelum Ivancic mudah melakukan penyudah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Sri Pahang FC terus melancarkan beberapa serangan untuk menyamakan kedudukan dan pada minit ke-66, Muhamad Baqiuddin Shamsudin berjaya menjadikan kedudukan 1-1.

Gol itu terhasil selepas kesilapan penjaga gol Sabah FC, Robson Rendy Rining yang gagal menampan dengan baik cubaan Baqiuddin, sebaliknya tampanannya itu menyaksikan bola bergolek masuk ke gawang sendiri.

Di saat-saat akhir perlawanan, Abdul Malik Mat Arif berjaya melakukan penyudah baik bagi meletakkan Sri Pahang di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Dengan aksi hanya tinggal beberapa saat, Ivancic kemudian menjadi penyelamat tuan rumah apabila sepakan terakhir perlawanan yang dilakukannya berjaya menghasilkan gol penyamaan bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 11:32 PM