KAPTEN Sri Pahang FC, Muslim Ahmad (kanan) mengasak pemain Sabah FC, Saddil Ramdani pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
KAPTEN Sri Pahang FC, Muslim Ahmad (kanan) mengasak pemain Sabah FC, Saddil Ramdani pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sabah FC bangkit daripada ketinggalan apabila menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Dua gol pada penghujung perlawanan memastikan Sabah mengutip tiga mata di tempat lawan.

Tuan rumah bermula dengan corak permainan pantas untuk membolosi gawang lawan dan peluang terbaik Sri Pahang hadir pada minit ke-11 menerusi sentuhan Steven Rodriguez, tetapi bola tendangan penyerang import itu sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol.

Selang tiga minit, kapten Sabah, Baddrol Bakhtiar memiliki peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan, namun bola sepakannya melepasi palang.

Pada minit ke-20, penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan gawang daripada dibolosi apabila menangkap kemas bola sepakan Rodriguez.

Bersambung babak kedua, Sabah yang tidak berada pada prestasi terbaik di separuh masa pertama tampil dengan melakukan percubaan berbahaya.

Pada minit ke-85, tandukan Rodriguez meletakkan Sri Pahang mendahului Sabah 1-0 hasil hantaran Baqiuddin Shamsudin.

Namun, pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-89 sebelum Taesu Park menjaringkan gol kedua Sabah pada masa kecederaan untuk memastikan skuad itu mengutip tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 10:20 PM