Penyerang TFC, David Da Silva (kiri) bakal kembali menerajui serangan pasukan itu bertemu Melaka United malam esok. FOTO FB TFC
Penyerang TFC, David Da Silva (kiri) bakal kembali menerajui serangan pasukan itu bertemu Melaka United malam esok. FOTO FB TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bakal membariskan barisan idamannya apabila melayani kunjungan Melaka United FC (MUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain itu dijangka menurunkan bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd bergandingan dengan pemain berdarah campuran Filipina-Sepanyol, Carli De Murga.

Manakala penyerang sensasi kelahiran Brazil, David Da Silva akan memainkan peranan sebagai penggempur utama pasukan untuk memburu gol.

Sebelum ini dua tonggak import itu terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan ringan, tempat mereka masing-masing digalas pemain muda, Shahrul Nizam Ros Hasni manakala penyerang pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah memikul tugas sebagai penggempur utama skuad itu.

Bagaimanapun Nafuzi ketika ditanya enggan mengambil risiko, sebaliknya akan memutuskannya ketika sesi latihan terakhir sama ada dua pemain berkenaan disenaraikan ataupun sebaliknya.

"Kehadiran Silva dan Herd ditagih bagi memperkuatkan lagi jentera pertahanan dan serangan pasukan, lebih-lebih lagi kita mahu mengekalkan rentak kemenangan keempat berturut-turut.

"Namun kita akan menilai tahap kecergasan dua pemain itu terlebih dahulu ketika sesi latihan terakhir nanti, jika mereka belum cergas 100 peratus kita tidak akan menyenaraikannya bertemu Melaka malam esok, begitulah sebaliknya.

"Namun pemain lain juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya mengekang asakan pasukan lawan selain berupaya meledak gol ketika berdepan Selangor FC dan Perak FC," katanya.

Dalam pada itu Nafuzi menuntut anak buahnya mengintai gol awal selain kental bertahan bagi memastikan rekod tanpa kalah dapat dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 5:58 PM