Pemain TFC menjalani latihan persediaan berdepan Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, esok. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC menjalani latihan persediaan berdepan Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain perlu lupakan episod kekalahan kepada Melaka United (MU) tempoh hari, sebaliknya harus bangkit berdepan Sabah di laman sendiri malam esok.

Peringatan itu disuarakan pengurus pasukan Terengganu FC (TFC), Zulfadli Rozi bagi memastikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu tidak 'berputih mata' pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Katanya ketiadaan kapten, Carli De Murga yang mengalami kecederaan ketika TFC tewas 0-2 kepada MU, Rabu lalu tidak sesekali menjejaskan perancangan barisan jurulatih.

"Kita sedar jadual pertandingan pusingan kedua begitu padat, jadi dengan masa berbaki dua hari lagi menjelang pertemuan dengan Sabah, kita perlu membuat persiapan rapi termasuk pemulihan pemain perlu dititikberatkan supaya mereka berada pada tahap 100 peratus.

"Ini kerana kami ingatkan pemain, pasukan Sabah yang kini menghuni di tangga kelapan liga tidak boleh dianggap mudah kerana kita maklum majoriti pasukan memperkemaskan jentera pasukan masing-masing ketika liga berehat, lagipun kita pernah tewas 1-2 pada aksi pusingan pertama.

"Tapi saya percaya barisan jurulatih sudah mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperkemaskan lagi selepas kita tewas 0-2 kepada Melaka tempoh hari.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pasukan kembali semula pada landasan kemenangan supaya dapat mengutip mata penuh biarpun kapten, Carli De Murga berkemungkinan besar akan direhatkan kerana mengalami kecederaan ketika menentang MU manakala Lee Tuck dalam proses pemulihan," katanya.

Terengganu yang kini menghuni di tangga kedua liga dengan mengutip 30 mata dijangka bakal diperkuatkan pemain pertahanan skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic.

Jentera tengah pula gandingan Habib Haroon, Makan Konate dan Dechi Marcel sekali lagi menjadi nadi pasukan manakala penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva taruhan utama merobek kubu skuad Sang Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 5:26 PM