PENGENDALI TFC, Nafuzi tuntut anak buahnya waspada taktikal Perak FC apabila dua pasukan itu bertembung di Stadium Perak malam esok. FOTO Ihsan TFC
PENGENDALI TFC, Nafuzi tuntut anak buahnya waspada taktikal Perak FC apabila dua pasukan itu bertembung di Stadium Perak malam esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Meskipun bermula dengan langkah kanan susulan kemenangan dalam dua aksi berturut-turut, Terengganu FC (TFC) tetap waspada taktikal Perak FC apabila dua pasukan itu bertembung di Stadium Perak Ipoh, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain akui pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus itu adalah aksi sukar berdasarkan reputasi pasukan lawan yang merakam kemenangan bergaya di tempat lawan bertemu Pahang minggu lalu.

Nafuzi menjelaskan setiap pasukan sudah pastinya berbeza taktikal dan juga strategi lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka biarpun tanpa penonton, malah pemain skuad kendalian Chong Yee Fatt itu juga dibarisi import berkualiti di tambah pula dengan penyerang naturalisasi terbaharu, Guilherme De Paula.

Namun Nafuzi enggan terjerat dengan taktikal skuad itu, sebaliknya beliau seperti biasa kekal optimis anak buahnya mampu memperagakan semangat melawan yang kental sebagaimana aksi terdahulu bertemu UITM FC dan Selangor FC bagi mengelak 'dilemaskan' lawan pada aksi ketiga itu.

Katanya, strategi yang dibawa ke Stadium Perak diharapkan menjadi untuk mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super yang kini berada di kedudukan kedua di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Setiap perlawanan pastinya berbeza, begitu juga pertemuan dengan Perak FC nanti yang saya jangkakan aksi sukar buat anak buah saya berdasarkan rekod pasukan itu musim ini yang juga bermula cemerlang.

"Namun kami juga sudah mempersiapkan pasukan untuk memberi tentangan sengit kepada lawan, sebab itu hanya pemain yang benar-benar cergas sahaja bakal disenaraikan kerana kita tahu aksi di tempat lawan adalah berbeza berbanding di arena sendiri," katanya kepada Sukan NSTP.

Dalam perlawanan itu nanti, jurulatih TFC kelahiran Kelantan dijangka mengekalkan barisan sama ketika menumpaskan The Red Giants 3-1 minggu lalu jika dua ayam tambatannya, iaitu bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd dan penyerang kelahiran, Brazil David Da Silva belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ringan.

Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah mungkin sekali lagi memikul tugas sebagai penggempur manakala arkitek skuad 'adik' itu, Dechi Marcel bakal bergandingan dengan Makan Konate merancang gerakan untuk memburu gol.

"Kita tidak mahu bergantung kepada permainan individu sebaliknya kita menerapkan aksi berpasukan, jadi kita tidak risau ketiadaan Herd dan Da Silva yang mengalami kecederaan ringan kerana pemain lain masih mampu menggalas tugas berkesan, tapi kita harapkan pemain berkenaan pulih secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 2:21 PM