PEMAIN TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
PEMAIN TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Siapa bakal dipilih sebagai 'jeneral' padang pasukan Terengganu FC (TFC) menggantikan bekas kapten, Lee Tuck akan ditentukan barisan jurulatih skuad itu yang diketuai Nafuzi Zain selepas semua pemain menjalani sesi latihan.

Bagaimanapun jurulatih muda meningkat naik yang dibantu bekas arkitek skuad kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan tidak gusar untuk memilih pemain yang bakal menggalas jawatan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan kerana beliau mempunyai beberapa calon yang sesuai dan berpengalaman mengisi posisi itu.

Selain kapten Namibia, Petrus Shitembi yang sudah dua hari menjalani sesi latihan bersama pasukan, turut berpengalaman untuk mengambil alih tugas Tuck adalah bekas kapten UKM FC, Asnan Ahmad dan bekas ketua pasukan Perak, Nasir Basharudin.

Turut boleh dicalonkan bekas tonggak tengah Kelantan dan kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan pemain berpengalaman TFC, Mohd Shamirza Yusoff yang pernah membantu skuad Penyu beraksi pada pentas Piala AFC pada 2012 selain pemain pertahanan Filipina berdarah campuran Sepanyol, Carli De Murga.

Ketika diajukan persoalan itu, Nafuzi Zain yang pernah membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001 ketika bawah kendalian Mat Zan Mat Arif akui tidak bimbang untuk memilihnya kerana beliau mempunyai banyak pilihan sama ada dalam kalangan tonggak import ataupun tempatan.

"Kita belum putuskan lagi kapten pasukan kerana masih menunggu semua pemain lengkap sepenuhnya terlebih dahulu, ketika sesi latihan nanti di situlah kita akan menilai dan melihat calon yang sesuai untuk menggantikan Tuck kerana setakat ini baharu dua daripada lima import menjalani latihan.

"Namun jika kita lihat ada pemain tempatan dan import yang menyarung jersi TFC sudah mempunyai pengalaman sebagai kapten bersama pasukan masing-masing, jadi kita tidak bimbang untuk melantik pemain ke jawatan itu.

"Mungkin di penghujung ataupun sebelum permulaan liga kita boleh umumkan siapa yang akan memakai lilitan sebagai kapten pasukan," kata Nafuzi ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak petang semalam.

Dalam pada itu calon Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 menjelaskan baki tiga lagi pemain import akan tiba dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan beliau ketika sesi latihan tidak terganggu.

"Dua daripada pemain import itu dijangka bakal diperkenalkan minggu depan sebaik tempoh kuarantin tamat manakala seorang lagi mungkin pada minggu seterusnya," katanya yang sudah memulakan latihan sejak dua minggu lalu.

Selepas Shitembi dan Murga, difahamkan tiga lagi pemain yang bakal diperkenalkan Terengganu Football Club (TFC) termasuk bekas pemain tengah T-Team, Makan Konate dari Mali, David Da Silva (Brazil) dan pemain kelahiran Australia yang juga bekas pertahanan kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa, Christopher Herd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 12:57 PM