JESUS (tengah) meledak gol kedua City. FOTO AFP
JESUS (tengah) meledak gol kedua City. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City membuktikan mempunyai keseluruhan skuad yang mantap dan walaupun Pep Guardiola melakukan banyak pertukaran kesebelasan utama mereka masih mampu menang 3-0 ke atas Fulham.

Ia membolehkan City melebarkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan 17 mata.

Kesemua tiga gol hadir pada 15 minit pertama separuh masa kedua, melalui John Stones, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero bagi membolehkan City menghampiri kejuaraan liga kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Manchester United mempunyai kelebihan dua perlawanan berbanding pendahulu liga namun City hanya memerlukan maksimum 14 mata dalam lapan perlawanan terakhir untuk merangkul kejuaraan.

"Dinamik musim ini sangat bagus. Aksi separuh masa kedua sangat penting. Ia adalah kemenangan penting buat kami dan kami semakin hampir,

Anak buah Guardiola berada pada landasan terbaik untuk mencipta sejarah meraih empat trofi musim ini.

Disebabkan aksi Liga Juara-Juara menentang Borussia Monchengladbach di Budapest Rabu ini, Guardiola melakukan tujuh pertukaran dengan Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Riyad Mahrez berada di bangku simpanan sehingga 90 minit.

"Kami akan tiba di Budapest dalam keadaan yang baik. Adakalanya, pemain tidak mempercayai saya, saya mahu semua orang terbabit. Adakalanya ia agak sukar tapi semua orang perlu memberikan sumbangan untuk memenangi perlawanan dan kami akan berjuang sehingga hujung musim," kata Guardiola.

Walaupun masih berada di kelompok tiga terbawah, Fulham berjaya memberikan aksi terbaik sejak kebelakangan ini bagi menyelamatkan mereka daripada tersingkir, termasuk dengan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Liverpool hujung minggu lalu.

Anak buah Scott Parker membuktikan sekali lagi bahawa mereka bukan mudah untuk dibolosi pada 45 minit pertama.

"Kami melepaskan gol yang mudah pada separuh masa kedua. Gol pertama melalui situasi bola mati ia sangat mudah dan dua lagi adalah disebabkan kesilapan sendiri," kata Parker.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 9:25 AM