FODEN (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
FODEN (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Brighton: Pep Guardiola memuji Brighton kerana beraksi seperti 'empat pasukan teratas' di sebalik anak buahnya menewaskan lawan mereka itu 4-1, hari ini.

Juara bertahan Liga Perdana itu hampir meraih tiga mata penuh selepas berakhir babak pertama apabila Ilkay Gundogan menolak masuk bola di gawang gol yang kosong minit ke-13 sebelum Phil Foden menambah dua lagi jaringan minit ke-28 dan 31.

Alexis Mac Allister menyempurnakan sepakan penalti untuk Brighton sebelum Riyad Mahrez memastikan kemenangan City dengan gol keempat pada masa kecederaan.

Brighton kekal di tangga keempat selepas perlumbaan cemerlang musim ini dan Guardiola percaya lawan mereka itu berhak untuk menduduki kelompok itu pada saingan liga.

"Sangat bagus kerana saya tahu pasukan mana yang kami temui hari ini," kata Guardiola selepas City naik di tangga kedua liga, dua mata ketinggalan di belakang pendahulu, Chelsea.

"Mereka agresif dan apabila menguasai bola, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka mempunyai mekanisme seperti pasukan gergasi.

"Mereka mempunyai keberanian. Saya mengagumi mereka yang beraksi seperti empat atau lima pasukan terbaik liga."

Guardiola hanya melakukan dua pertukaran berbanding barisan pemain yang membelasah Club Brugge 5-1 pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu dengan Gundogan dan Gabriel Jesus menggantikan tempat Kevin De Bruyne serta Mahrez.

Brighton mempamer aksi lebih baik pada separuh masa kedua dengan barisan pemain City dilihat menyimpan tenaga mereka selepas mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari.

"Ia pengajaran kepada kami. Untuk 30 minit mereka lebih baik berbanding kami," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:35 AM