TONGGAK Sabah, Aamri Yahyah (kiri) diasak oleh dua pemain PJ City. FOTO Mohd Adam Arinin
TONGGAK Sabah, Aamri Yahyah (kiri) diasak oleh dua pemain PJ City. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hasrat Sabah Football Club (FC) untuk mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila kecundang 0-1 kepada PJ City di Stadium Likas, hari ini.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto menguasai hampir keseluruhan permainan sehingga PJ City langsung tidak mempunyai cubaan ke arah pintu gol tuan rumah.

Sabah FC hampir mendahului pada minit ke-12 namun sepakan percuma Saddil Ramdani dari jarak kira-kira 35 meter dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang walaupun bola berjaya mengatasi kesemua pemain termasuk penjaga gol.

Tuan rumah sekali lagi mencemaskan pintu gol pelawat pada minit ke-26 namun kali ini penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz MA Rowi berjaya menumbuk keluar sepakan percuma Levy Madinda.

Skuad Badak kemudian terus ghairah memburu gol pembukaan dan hampir mendapatkannya pada minit ke-37 namun cubaan Park Taesu selepas Kalamullah gagal menangkap kemas bola dari sepakan sudut sekadar tinggi melepasi palang gol.

Kedudukan tanpa jaringan itu kemudian kekal sehinggal pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah FC dikejutkan dengan jaringan PJ City menerusi Darren Lok yang mudah menyepak masuk bola ke gawang pada minit ke-52.

Gol itu berpunca hasil sepakan kurang kemas dilakukan pertahanan import Sabah FC, Ristro Mitrevski yang menuju ke pintu gol sendiri seterusnya terkena tiang dan Darren kemudian berada di posisi baik untuk melakukan penyudah bagi menjadikan kedudukan berpihak kepada mereka 1-0.

Sabah FC kemudian cuba menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan namun ketumpulan di bahagian serangan ternyata mengecewakan mereka walaupun beberapa pertukaran dilakukan Kurniawan.

Kedudukan 1-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 10:28 PM