Pemain import Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani (kiri) menjalani latihan bersama pasukan. FOTO Sabah FC
Pemain import Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani (kiri) menjalani latihan bersama pasukan. FOTO Sabah FC
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Bung Moktar Radin menyeru kepada skuad Sabah Football Club (FC) supaya menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, malam esok.

Katanya, selepas kecundang 0-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) di Alor Setar, Selasa lalu, kemenangan terhadap PJ City FC di Stadium Likas, di sini, esok amat diperlukan.

"Pasukan kita perlu bangkit dan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan mata. Lupakan kekalahan itu (bertemu Kedah) dan jangan lemah semangat menghadapi lawan.

"Saya juga berharap Sabah FC perbaiki kelemahan yang ada dan terus berusaha untuk memburu kemenangan kerana bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kita," katanya.

Sementara itu, Sabah dijangka bakal menurunkan empat pemain import baharu mereka dalam aksi malam esok.

Sebelum ini, pemain-pemain berkenaan iaitu pemain tengah kebangsaan Gabon, Levy Madinda, pemain tengah dari Macedonia, Ristro Mitrevski, penyerang dari Liberia, Sam Garyahzon Johnson dan Saddil Ramdani dari Indonesia tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan awal kerana terpaksa menjalani kuarantin.

Kesemua mereka bagaimanapun kini menyertai sesi latihan skuad Badak dan dikatakan siap sedia untuk diturunkan malam esok.

Dalam dua aksi awal, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu hanya menggunakan seorang import iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Taesu.

Ketiadaan pemain import jelas menyukarkan pasukan itu untuk bersaing dengan lawan yang memiliki ramai pemain import khususnya ketika bertemu KDA, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 1:17 PM