PEMAIN tengah dari Gabon, Levy Clement Madinda tidak lagi bersama Sabah FC. FOTO Sabah FC
PEMAIN tengah dari Gabon, Levy Clement Madinda tidak lagi bersama Sabah FC. FOTO Sabah FC
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah Football Club (FC) bakal menghabiskan saingan Liga Super dengan menggunakan empat pemain import selepas pemain tengah dari Gabon, Levy Clement Madinda dikatakan tidak disambung kontraknya yang berakhir 31 Julai lalu.

Sumber daripada Sabah FC berkata, keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Madinda dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak, namun tidak didedahkan punca pemain itu dilepaskan.

"Ya memang benar, kontrak Madinda berakhir pada 31 Julai dan ia tidak disambung dan keputusan itu dicapai serta dipersetujui Sabah FC dan Madinda," kata sumber itu ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Facebook rasmi Sabah FC turut memuat naik gambar Madinda sambil menyatakan ucapan terima kasih kepada pemain berusia 29 tahun itu.

"Sabah FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada @levymadinda7 di atas sumbangan beliau kepada pasukan Sabah FC musim ini," kata hantaran itu.

Selain itu, Madinda menerusi akaun Instagram beliau turut memuat naik gambarnya ketika beraksi bersama skuad Badak sambil menyatakan tidak lagi akan beraksi bersama skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu.

"Selepas enam bulan di sini (Sabah), tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal, berbanyak terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memudahkan tugas saya, barisan kejurulatihan, pasukan perubatan dan semua dalam Sabah FC, saya doakan anda semua terus gembira di masa akan datang," katanya.

Sepanjang beraksi bersama Sabah FC, Madinda berjaya meledak tiga gol selain melakukan beberapa bantuan gol untuk pasukannya.

Selepas ketiadaan Madinda, Sabah FC kini hanya mempunyai empat pemain import iaitu Park Taesu, Risto Mitrevski, Saddil Ramdani dan Josip Ivancic.

Setakat 16 perlawanan, Sabah FC kini berada di kedudukan ketujuh liga selepas mengumpul 18 mata hasil daripada empat kemenangan, enam seri dan enam kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:19 PM