SADDIL (tengah) cuba melepasi kawalan pertahanan Hougang United.
SADDIL (tengah) cuba melepasi kawalan pertahanan Hougang United.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain import Sabah FC dari Indonesia, Saddil Ramdani tidak sabar memperagakan aksinya di kampung halamannya sendiri dalam saingan Piala AFC malam esok.

Jelas Saddil, aksi menentang PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali, Indonesia bukan saja dapat bermain di depan penyokong negara kelahirannya, tetapi lebih penting untuk memburu keputusan positif dalam aksi kedua Kumpulan H itu nanti.

"Ini adalah aksi yang kami tunggu dan bersemangat untuk kami juga. Di mana bermain di kampung saya sendiri sebenarnya...dan apa yang kami harapkan, dapat pamerkan yang terbaik esok," katanya yang juga pemain kebangsaan skuad Garuda itu.

Sabah FC berpeluang mengukuhkan kedudukan dalam carta Kumpulan H jika berjaya menewaskan PSM Makassar malam esok.

Ketika ini, The Rhinos menghuni tangga kedua dengan berkongsi tiga mata bersama pendahulu dari Vietnam, Hai Phong FC yang hanya dibezakan jumlah jaringan dan bolos.

Dalam aksi pertama sebelum ini, anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya menjinakkan kelab Singapura, Hougang United dengan 3-1 di Likas.

Manakala aksi babitkan Hai Phong dan PSM Makassar menyaksikan Hai Phong menang 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Hanoi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 9:49 PM