SADDIL ketika beraksi bersama Pahang pada 2019. FOTO NSTP
SADDIL ketika beraksi bersama Pahang pada 2019. FOTO NSTP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pemain import Sabah Football Club (FC) dari Indonesia, Saddil Ramdani sudah tidak sabar untuk menjalani latihan bersama pasukan itu seterusnya beraksi dalam saingan Liga Super, musim ini.

Katanya, dia kini sudah berada di Kuala Lumpur namun terpaksa menjalani kuarantin selama tujuh hari sebelum dibenarkan menyertai 'keluarga' skuad Badak.

"Saya sekarang sudah berada di Kuala Lumpur, untuk sementara ini saya menjalani kuarantin tujuh hari dan saya ingin katakan, saya sudah tidak sabar untuk bersama pasukan Sabah FC, berlatih dan beraksi bersama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), hari ini.

Saddil antara empat pemain import yang dikatakan sudah mengikat kontrak dengan Sabah FC bagi memperkuatkan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto pada musim ini.

Tiga lagi pemain import yang turut masih belum bersama pasukan ialah Sam Johnson dari Liberia, Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon)

Terdahulu semalam, pengurus pasukan, Marzuki Nasir membayangkan Sabah FC bakal beraksi dengan hanya menggunakan seorang pemain import dalam dua aksi pertama Liga Super mereka di gelanggang lawan.

Dua perlawanan itu membabitkan pertemuan dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat dan Kedah di Stadium Darul Aman.

Katanya, tiga daripada empat pemain itu kini sudah berada di Malaysia manakala seorang lagi dalam proses untuk masuk ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 11:41 PM