Pemain Sabah, Mohd Azzizan Nordin (kanan) melakukan rembatan sambil dihalang pemain KL United dalam aksi persahabatan malam tadi.
Pemain Sabah, Mohd Azzizan Nordin (kanan) melakukan rembatan sambil dihalang pemain KL United dalam aksi persahabatan malam tadi.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berharap empat pemain import baharu yang diambil pasukan itu sempat sampai ke negara ini sebelum aksi pembukaan Liga Super bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, pada 6 Mac ini.

Pemain-pemain itu ialah pemain tengah Gabon, Levy Clement Madinda, pertahanan daripada Macedonia, Risto Mitrevski, penyerang Liberia, Sam Garyahzon Johnson dan pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani.

"Memang kami berharap mereka akan sampai sebelum aksi pertama bermula namun kami juga telah menyediakan 'plan B' jika sebaliknya berlaku," katanya.

Sementara itu, Kurniawan berkata beliau tetap berpuas hati dengan dua aksi pra-musim mereka di Kuala Lumpur United FC (KL United) walaupun gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan berkenaan.

Katanya, aksi persahabatan itu bukanlah pengukur sebenar kekuatan pasukan itu kerana apa yang lebih penting adalah membentuk keserasian di kalangan pemain serta melihat tahap kecergasan mereka.

"Memang keputusannya tidak begitu baik, dan kekalahan 1-4 kepada KL United semalam juga disebabkan faktor kepenatan kerana kami baru selesai satu lagi aksi bertemu Sarawak United dua hari lalu.

"Apapun ini hanya aksi persahabatan untuk kita melihat sejauh mana kecergasan pemain selain untuk membentuk keserasian di kalangan mereka," katanya.

Dalam aksi malam tadi, pemain KL United, Paulo Josue meledak dua gol manakala Dominique Da Sila dan Romel Morales masing-masing mencetak satu gol untuk membenam skuad Badak 4-1.

Gol tunggal Sabah pula dijaringkan penyerang berpengalaman Bobby Gonzalez.

Sebelum ini, Sabah juga gagal mencatat kemenangan dalam aksi bertemu Sarawak United apabila sekadar seri 1-1.

"Bagaimanapun saya tetap memuji pemain dalam dua aksi persahabatan ini kerana biarpun penat, mereka tetap cuba memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan.

"Ini sesuatu yang positif buat pasukan dan saya harap kami akan bersiap sedia sepenuhnya menjelang aksi pertama Liga Super nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 7:01 PM