Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman. FOTO File NSTP
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas mengambil alih 'The Red Warriors' (TRW) Kelantan FC usahawan dan pakar pelaburan terkenal Norizam Tukiman jelas mempunyai cita-cita besar dalam arena bola sepak apabila beliau dikhabarkan mengintai untuk mengambil alih kelab bola sepak berpangkalan di Indonesia.

Beliau juga giat mendapatkan beberapa hotel di Bali untuk diserapkan dalam Hotel Zamburger yang sudah mempunyai 40 cawangan di Malaysia setakat ini.

Walaupun perkara terbabit belum dihebohkan lagi, pemilik TRW Kelantan FC itu kini dalam usaha perbincangan dengan beberapa kelab Liga 2 Indonesia sebelum menandatangani perjanjian.

Menurut sumber, pemilik TRW Kelantan FC sudah dua bulan mengadakan perbincangan dengan kelab terbabit dan kini pada peringkat untuk memutuskan pasukan yang bakal diambil alih nanti.

"Norizam memang ada mengadakan perbincangan bersama beberapa pemilik kelab bola sepak Indonesia dan setakat ini semuanya positif apabila beliau menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan daripada negara jiran itu.

"Setakat ini, kos yang dikeluarkan untuk membeli kelab berkenaan masih lagi belum dinyatakan namun difahamkan mencecah jutaan ringgit.

"Ini mungkin antara strategi Norizam pada masa akan datang terutama berkongsi kepakaran dan kemampuan kelab terbabit bersama TRW Kelantan FC," katanya.

Sebelum itu Norizam menjadi 'hero' apabila pembelian TRW Kelantan FC dilihat menyelamatkan masa depan dan bola sepak negeri berkenaan yang dihantui bebanan hutang sejak 20 tahun lalu.

Anak jati Johor yang lebih dikenali sebagai Zamburger atau Zamsaham menjadi 'bos baharu' pasukan jaguh Pantai Timur itu selepas melabur RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham dalam Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd pada September tahun lalu.

Malah, Norizam juga mengeluarkan duit poket sendiri kira-kira RM3.8 juta bagi menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain termasuk yang membabitkan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada masa sama, Norizam turut menjelaskan bayaran tunggakan gaji skuad Piala Presiden serta Belia bagi musim 2019 dan 2020 berjumlah lebih RM195,476.

Sementara itu, Norizam ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan perkara terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 12:00 AM