NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelantan FC mungkin terselamat daripada disingkirkan dalam saingan Liga Super musim depan apabila dikatakan sudah memenuhi semua 'permintaan' syarat lesen kebangsaan ditetapkan First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, pihaknya tidak pernah mengambil sikap tak acuh dalam menyelesaikan dokumentasi membabitkan permohonan lesen kebangsaan untuk musim depan.

Malah, katanya, Kelantan FC juga dalam usaha menyelesaikan tunggakan gaji selain turut mengadakan perbincangan bersama bekas pemainnya untuk mendapatkan kata sepakat membabitkan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Dokumen untuk permohonan lesen sudah kita hantar semuanya iaitu bermaksud kemukakan penyata gaji dan pembayaran Perkeso serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada FIB.

"Pada masa sama, Kelantan FC juga komited untuk selesaikan sepenuhnya tunggakan gaji dan kes dengan Fifa iaitu akan mengadakan perbincangan bersama pemain terbabit," katanya.

Sebelum ini, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamburger mengesahkan bahawa pasukannya mengalami tunggakan gaji namun majoriti pemainnya hanya tidak menerima bayaran untuk tempoh sebulan sahaja.

Katanya,The Red Warrior (TRW) dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu termasuklah kes membabitkan Fifa.

Beliau juga mengakui terdapat beberapa pemainnya yang mengalami tunggakan gaji lebih daripada sebulan namun ia berlaku kerana terdapat isu tertentu membabitkan kedua-dua pihak.

Selain itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pula akui FIB memerlukan sedikit masa untuk mengumpul maklumat tambahan berkenaan dokumen babitkan permohonan lesen kebangsaan untuk musim depan.

Hal ini kerana, difahamkan terdapat beberapa pasukan Liga Super menghadapi masalah tunggakan gaji menyebabkan FIB terpaksa menunggu kelab berkenaan menyelesaikan isu terbabit sebelum membuat pengumuman rasmi pasukan yang memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 3:40 PM