NORIZAM (dua kanan) sah pemilik baharu PSPS Riau.  FOTO Facebook PSPS Riau
NORIZAM (dua kanan) sah pemilik baharu PSPS Riau. FOTO Facebook PSPS Riau
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: "Saya adalah peminat dan pelabur dengan melihat masa depan iaitu bukan semata-mata mahukan keuntungan sekarang."

Itu reaksi pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman apabila sanggup mengambil risiko dengan menandatangani perjanjian sebagai pemilik baharu kelab Indonesia, PSPS Riau.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham akhirnya sah menjadi pemilik kepada pasukan berkenaan dalam majlis ringkas di kem kelab terbabit, semalam.

Zamsaham menerusi Facebooknya berkata, pengambilalihan itu boleh dikatakan sebagai lembaran baharu buat The Red Warriors (TRW) Kelantan FC untuk menjalinkan kerjasama dengan pasukan PSPS Riau pada masa akan datang.

"Saya sayangkan peminat PSPS Riau sebagaimana saya sayangkan peminat TRW Kelantan FC yang mahukan pasukan bola sepak mereka naik. Ibarat seperti maruah juga," katanya.

Untuk rekod, PSPS atau nama penuhnya Persatuan Sepak Bola Pekanbaru dan Sekitarnya berpangkalan di Pekanbaru, Riau mula ditubuhkan pada 1955.

Ketika ini pasukan berkenaan yang dikendalikan Raja Isa beraksi di Liga 2 Indonesia dengan kali terakhir bermain di divisyen utama pada 2014.

PSPS juga kelab pertama yang disertai oleh pemain import Terengganu ketika ini iaitu Makan Konate ketika memulakan karier di Indonesia.

Terdahulu, pengambilalihan terbabit sudah bertiup kencang di laman sosial terutama Facebook selepas seorang pengguna Twitter memuat naik Norizam dilihat menghadiri majlis menandatangani dokumen di Riau baru-baru ini.

Berikutan itu, penyokong PSPS mengangkat usahawan dan pakar pelaburan terkenal itu sebagai penyelamat kepada pasukan berkenaan dalam usaha kembali berdaya saing.

Malah, harapan tinggi turut diletakkan kepada Norizam atau Zamsaham supaya dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji yang turut membelenggu pasukan terbabit sebelum ini.

Pembelian saham kelab berpangkalan di Riau itu tidak didedahkan jumlah keseluruhan, namun dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Norizam digelar 'hero' apabila pembelian TRW Kelantan FC dilihat menyelamatkan masa depan dan bola sepak negeri berkenaan yang dihantui bebanan hutang sejak 20 tahun lalu.

Anak jati Johor yang lebih dikenali sebagai Zamburger menjadi 'bos baharu' pasukan Pantai Timur itu selepas melabur RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham dalam Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:05 AM