VIDA tunggu maklum balas Norizam.
VIDA tunggu maklum balas Norizam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik Datuk Seri Vida ternyata serius mahu mengambil alih Kelantan FC apabila sudah menghantar surat rasmi kepada pemilik kelab terbabit Norizam Tukiman dalam usaha mengambil alih pasukan itu.

Vida memaklumkan ketika ini, beliau hanya menunggu maklum balas daripada Norizam untuk menetapkan masa sesuai bagi mengadakan perbincangan lanjut.

"Saya sudah kemukakan surat kepada Norizam dan sedang menunggu maklum balas daripada beliau untuk mengadakan perjumpaan. Kita bagi kemudahan kepada beliau, tak kisah di mana dan bila tarikh beliau boleh jumpa," katanya.

Sebelum ini, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman meluahkan hasrat untuk mengambil alih Kelantan FC dengan misi mahu menyelamatkan pasukan itu yang didakwa sedang berdepan masalah kewangan.

Rentetan daripada itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham meminta Vida mengemukakan surat rasmi kepada pihaknya jika beliau benar-benar serius mahu mengambil alih Kelantan FC.

Kelantan dilaporkan berdepan masalah kewangan yang menyaksikan skuad itu terpalit isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Kesan daripada isu terbabit, The Red Warriors (TRW) dikenakan sekatan daripada membawa masuk pemain baharu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi badan bebas, First Instance Body (FIB) turut mengenakan hukuman sama dengan Kelantan tidak boleh mengambil pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) bermula, esok.

Ia susulan kegagalan kelab berkenaan menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lalu.

Hukuman itu berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil FAM atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berkenaan aduan kes lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:49 PM