KEMEROSOTAN prestasi Kelantan FC meresahkan penyokong setia mereka.  FOTO Ghazali Kori
KEMEROSOTAN prestasi Kelantan FC meresahkan penyokong setia mereka. FOTO Ghazali Kori
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Kali ini benar-benar saya sedia ambil alih Kelantan FC, di mana anak saya Kacak (Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin) akan menguruskan sepenuhnya pasukan demi menyelamatkan TRW (skuad The Red Warriors)".

Demikian kata usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida atau Vida mengakui kepada Arena Metro yang dirinya sedia mengambil alih Kelantan FC daripada pemiliknya, Norizam Tukiman.

Jelas Vida, usaha untuk mengambil TRW demi menyelamatkan pasukan itu yang kini dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu pokok berkaitan tunggakan gaji.

Katanya, hasrat itu bukanlah omong-omong kosong ataupun mempunyai udang di sebalik batu, apabila menegaskan akan menguruskan kelab terbabit secara profesional tanpa campur aduk hal berkaitan syarikat kosmetiknya, atau cubaan menjadikan TRW sebagai alat pemasaran perniagaan.

"Kita tak akan buat begitu (jadikan TRW alat pemasaran syarikat). Kalau jadi, anak saya yang akan uruskan pasukan Kelantan kerana saya lihat anak saya amat minat dengan bola sepak.

"Disebabkan minat mendalam, saya percaya Kacak boleh membawa semula kegemilangan TRW yang dah hilang sekarang ke tahap membanggakan.

"Saya hanya berada di belakang tabir dan tak akan gunakan TRW untuk syarikat. Malah, kalau sebelum ini saya pernah tukar warna TRW kepada warna 'pink' (merah jambu) sebelum ini, tapi kali ini tidak sebab saya takkan campur hal syarikat dengan pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, Vida pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2015 dan 2016 selepas dia menaja TRW dengan bilai RM16 juta selama dua musim.

Antara perubahan dilakukan Vida termasuk mengecat semula Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu selari dengan warna tema syarikatnya serta menjenamakan semula nama pasukan sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Ditanya adakah rundingan sudah diadakan bersama Norizam, Vida mengakui sudah ada perbincangan tidak rasmi mengenai hasratnya itu.

"Kalau kena cara saya mahu ambil semula. Dulu masa saya dengan TRW, tak ada pun masalah tunggakan gaji. Apa yang berlaku sekarang memang menjatuhkan maruah Kelantan. Saya harap perbincangan ke arah itu berjaya nanti," katanya.

Pelbagai kontroversi menyelubungi Kelantan FC ketika ini termasuk beberapa isu di luar padang mahupun masalah prestasi buruk di atas padang yang jelas menjatuhkan maruah pasukan itu.

Ketika ini, TRW diuruskan dan dimiliki oleh Norizam yang juga seorang usahawan tempatan yang membeli kelab itu daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan nilai RM6.8 juta pada 2019 lalu.

Begitupun, selepas tiga musim di bawah kendalian Norizam, tiada banyak kejayaan cemerlang diraih TRW. Sebaliknya timbul pelbagai kontroversi termasuk tindakan pemilik kelab menahan gaji pemain serta tunggakan bayaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah lebih RM400,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:12 PM