PARKER tidak puas hati peraturan bola terkena tangan baru digubal. FOTO AFP
PARKER tidak puas hati peraturan bola terkena tangan baru digubal. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Fulham, Scott Parker seakan tidak percaya peraturan baru bola terkena tangan gagal diperkenalkan pada awal musim.

Penggubal peraturan bola sepak mengumumkan semalam bola secara tidak sengaja terkena tangan sehingga membolehkan rakan sepasukan menjaringkan gol atau mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan bermula 1 Julai.

Pengumuman itu hadir sehari selepas Fulham menjadi mangsa kontroversi peraturan bola terkena tangan sekali gus menafikan peluang mereka untuk memperoleh gol penyamaan ketika menentang Tottenham.

Josh Maja sepatutnya berjaya menjaringkan gol penyaman buat The Cottagers namun gol berkenaan tidak dikira selepas ulangan tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan bola terkena tangan rakan sepasukan, Mario Lemina terlebih dulu ketika Davinson Sanchez mahu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

"Ini sangat dahsyat, saya tidak akan berselindung. Kami berdepan dengan keputusan yang tidak memihak kepada kami tahun ini dengan semuanya berkaitan dengan VAR.

"Menentang Newcastle di tempat lawan, pemain kami diperintah keluar padang. Sepakan penalti sepatutnya diperoleh ketika menentang Liverpool. Sekarang ini pula.

"Saya bukan merungut mengenai kejadian berkenaan kerana ia adalah sebahagian daripada peraturan. Tapi keputusan itu patut dibuat pada waktu yang tepat. Kenapa ia tidak dilaksanakan pada awal musim," kata Parker.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 10:19 AM