REAKSI Ronaldo selepas menjaringkan gol untuk Juventus. FOTO AFP
REAKSI Ronaldo selepas menjaringkan gol untuk Juventus. FOTO AFP
AFP

Rom: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-19 namun juara bertahan, Juventus sekadar seri 1-1 ketika bertemu Hellas Verona di tempat lawan pada aksi Serie A, hari ini.

Keputusan seri itu memberikan pendahulu liga, Inter Milan peluang untuk menjarakkan kedudukan kepada 10 mata berbanding Juventus jika mereka dapat meraih kemenangan ke atas Genoa di San Siro, hari ini.

Juventus menduduki tempat ketiga, ketinggalan tiga mata berbanding AC Milan di tempat kedua yang akan berkunjung ke Roma, hari ini.

"Kami berpeluang mendahului perlawanan tetapi malangnya tidak dapat mempertahankan kedudukan itu," kata jurulatih Juve, Andrea Pirlo.

Skuad kendalian Pirlo terpaksa beraksi tanpa ramai pemain berstatus bintang dengan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini cedera manakala Danilo digantung perlawanan.

Juan Cuadrado, Arthur dan Paulo Dybala juga tidak beraksi kerana kecederaan manakala Alvaro Morata sedang menjalani pemulihan akibat jangkitan kuman.

Ronaldo memecah kebuntuan empat minit bersambung babak kedua apabila menyambung hantaran sempurna Federico Chiesa.

Antonin Barak menanduk masuk gol penyamaan berbaki 15 minit permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 8:36 AM