PEPE (empat kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
PEPE (empat kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Agensi

Braga: Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City dan Arsenal meneruskan kemaraan ke kelompok 32 terakhir Liga Europa selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Jaringan penyamaan Jame Vardy ketika seri 3-3 di Braga membantu Leicester City mara ke pusingan kalah mati dan ia disertai Arsenal yang menang 3-0 di Molde.

Leicester dilihat akan tewas apabila Fransergio meletakkan tuan rumah 3-2 di depan pada minit pertama tambahan masa tetapi Vardy kembali menyamakan kedudukan seterusnya mara ke kelompok 32 terakhir.

Skuad kendalian Brendan Rodgers kini menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 10 mata, tiga mata di depan Braga di tangga kedua dan tujuh mata mengatasi AEK Athens berbaki dua perlawanan selepas wakil Greece itu tewas 3-0 kepada Zorya Luhansk.

Sementara itu pengendali Arsenal, Mikel Arteta mencabar Nicolas Pepe untuk terus mempamerkan aksi konsisten selepas pemain sayap itu menjaringkan gol pertama sekali gus membantu Gunners mara ke kelompok 32 terakhir.

"Saya dapat melihat dari minit pertama, dari gerakan badannya yang dia mahu mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Tottenham Hotspur pula berkongsi sembilan mata dengan pendahulu Kumpulan J, Royal Antwerp selepas menang 4-0 mengatasi pasukan tangga terbawah, Ludogorets yang masih belum mengumpul sebarang mata.

Kemenangan selesa Spurs dicipta hasil sepakan jarak jauh Harry Winks selepas skuad kendalian Jose Mourinho mendahului menerusi dua gol Carlos Vinicius sebelum Lucas Moura melengkapkan jaringan pada minit ke-73.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 9:16 AM