JIMENEZ (kanan) menanduk masuk gol pertama Wolves di Estadio Municipal de Braga. — FOTO Reuters
JIMENEZ (kanan) menanduk masuk gol pertama Wolves di Estadio Municipal de Braga. — FOTO Reuters
Agensi

WOLVERHAMPTON Wanderers layak ke peringkat kalah mati Liga Europa selepas seri 3-3 dengan Braga di Portugal, awal pagi tadi.

Anak buah Nuno Espirito Santo hadir di Estadio Municipal de Braga satu mata di belakang tuan rumah yang juga pendahulu Kumpulan K, memerlukan satu mata untuk mara dengan berbaki satu perlawanan.

Mereka memastikan mata yang diperlukan menerusi pertembungan menarik yang menyaksikan mereka ketinggalan sebelum mendahului 3-1 dan kemudian terikat semula.

Percubaan Andre Horta yang terbias Ruben Neves memberikan tuan rumah kelebihan awal. Namun pelawat membalas dengan penuh bergaya, menjaringkan tiga gol babak pertama dengan gol penyamaan menerusi tandukan Raul Jimenez menjadi titik tolak.

JARINGAN Fransergio (tengah) menyelamatkan maruah Braga di tempat sendiri. — FOTO Reuters
JARINGAN Fransergio (tengah) menyelamatkan maruah Braga di tempat sendiri. — FOTO Reuters

Selepas menanduk masuk hantaran silang Jonny untuk menyamakan kedudukan, umpanan pemain Mexico itu membolehkan Matt Doherty meletakkan Wolves di depan dengan rembatan leret Adama Traore seminit kemudian juga menerusi hantaran Jimenez, mengukuhkan kedudukan Wolves.

Bagaimanapun, Braga kini tidak kalah 12 perlawanan di Eropah selepas mereka bangkit melawan pada babak kedua.

Paulinho mengurangkan defisit sebelum Fransergio menanduk masuk dari jarak dekat untuk melengkapkan jaringan. Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan layak walaupun berbaki satu perlawanan.

“Kami cuba membina pasukan dan meningkat serta meraih keputusan yang dimahukan. Kami tidak mempunyai had, kami sering kali cuba untuk terus bersaing,” kata Espirito Santo, yang dikaitkan dengan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:51 AM