CHENG Hoe berdepan kekangan akibat penularan pandemik Covid-19 sekali gus menghalang untuk mengadakan sesi latihan dalam waktu terdekat. FOTO Arkib NSTP
CHENG Hoe berdepan kekangan akibat penularan pandemik Covid-19 sekali gus menghalang untuk mengadakan sesi latihan dalam waktu terdekat. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mac tahun depan dijangka skuad Harimau Malaya akan mula menjalani latihan.

Ketika pasukan lain seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand bertungkus lumus menjalani latihan bagi mempersiapkan barisan pemain terbaik, situasi berkenaan berbeza dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang ketika ini dilihat masih lagi 'bercuti'.

Malah, boleh dikatakan tiga negara berkenaan hampir sempurna daripada segi persiapan apabila sudah mengadakan siri jelajah perlawanan persahabatan selain mengumpul semua pemain terbaik mereka bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Situasi berkenaan sebenarnya meresahkan Cheng Hoe apabila dijangka dapat mengumpul semua pemainnya paling awal Mac tahun depan untuk merangka strategi menghadapi perlawanan terbabit.

Beliau berkata, ketika ini tiada apa yang mampu dilakukan berikutan kekangan akibat penularan pandemik Covid-19 sekali gus menghalang untuk mengadakan sesi latihan dalam waktu terdekat ini.

"Jika dilihat pada waktu ini, sesi latihan tidak boleh dilaksanakan sehingga perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) tamat.

"Pada Januari tahun depan pula, kelab sudah tentu mahu mengadakan sesi latihan sebelum menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia nanti.

"Jadinya, kita mungkin boleh mengumpul pemain Harimau Malaya pada Mac tahun depan dan sememangnya situasi terbabit membimbangkan saya dalam menyediakan barisan pemain terbaik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, perlawanan antarabangsa pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia China 2023 ditunda ke tahun depan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata ia sebagai langkah pencegahan Covid-19 yang menular di seluruh dunia.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023, yang pada awalnya bakal berlangsung ketika jadual antarabangsa pada Oktober dan November 2020, ditunda ke 2021.

Mengikut rekod, Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua, Kumpulan G dengan bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober lalu sebelum menyambut Vietnam, lima hari kemudian disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 9:37 PM