PERSIAPAN Harimau Malaya terlalu singkat sebelum ini.
PERSIAPAN Harimau Malaya terlalu singkat sebelum ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila mengharapkan dapat mengumpul lebih awal barisan pemain sebagai persiapan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia tahun depan.

Cheng Hoe berkata, ia penting bagi memastikan barisan pemain lebih bersedia dan serasi bersama sekali gus membantu dalam mempertingkatkan lagi kualiti permainan pasukan.

Beliau berkata, sebelum ini barisan pemain Harimau Malaya mempunyai waktu terlalu singkat untuk menjalani latihan sekali gus menjejaskan prestasi mereka ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emeriah Arab Bersatu (UAE).

"Jika boleh untuk perlawanan akan datang membabitkan Harimau Malaya dapat panggil barisan pemain lebih awal sekali gus boleh melakukan persiapan lebih rapi.

"Situasi pada perlawanan sebelum ini dengan pemain lebih setahun tidak bersama berikutan pandemik Covid-19 sekali gus menjejaskan momentum mereka untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Sudah tentu saya mahu menyediakan barisan pemain terbaik dengan memperbaiki kelemahan yang ada dan berharap dapat mencipta keputusan positif," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, ketika ditanya mengenai hasil bedah siasat berkaitan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emeriah Arab Bersatu (UAE), Cheng Hoe berkata, perkara terbabit masih lagi dalam perbincangan.

"Setakat ini masih lagi dalam perbincangan kerana pandemik Covid-19 menyebabkan perkara terbabit tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Sudah pasti perkara yang akan ditekankan adalah untuk memperbaiki kelemahan sekali gus dapat mempersiapkan barisan pemain mantap pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:15 PM