AKSI barisan pemain TFC ketika saingan Liga Super. FOTO Bernama
AKSI barisan pemain TFC ketika saingan Liga Super. FOTO Bernama
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tahun depan menyaksikan Terengganu FC (TFC) terpaksa bekerja lebih keras apabila pembatalan Piala Malaysia 2020 menyaksikan pasukan terbabit meraih slot ke Kejohanan AFC 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, TFC ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super sekali gus melayakkan mereka beraksi di kejohanan peringkat Asia itu.

"Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021 selepas Piala Malaysia 2020 dibatalkan.

"Tahun ini adalah detik cukup sukar buat bola sepak di mana banyak kekangan dan halangan yang kita tempuhi tetapi saya berharap kita semua kekal patuhi SOP serta harus bangkit untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali bernyawa," katanya.

"Saya juga berharap pasukan yang sudah menamatkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bersedia untuk persiapan musim 2021," katanya, di sini.

Mengikut rekod, skuad bimbingan Nafuzi Zain berjaya mengekalkan kedudukan ketiga Liga Super selepas mengharungi 11 perlawanan.

Skuad TFC berjaya mencatatkan enam kemenangan, satu seri dan empat kekalahan sekali gus memungut 19 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:50 PM