AB Rasid Jusoh menyifatkan pemilihan TFC mengisi slot ke Piala AFC bakal melonjakkan lagi ranking skuad itu. FOTO Ihsan TFC
AB Rasid Jusoh menyifatkan pemilihan TFC mengisi slot ke Piala AFC bakal melonjakkan lagi ranking skuad itu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menyifatkan pemilihan TFC beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan bakal menaikkan lagi 'saham' skuad itu.

Hal ini susulan pembatalan saingan Piala Malaysia musim ini sekali gus memberi peluang kepada pasukan TFC untuk beraksi pada pentas Piala AFC itu.

Ab Rasid yang baharu mengetuai skuad TFC Sdn Bhd pada pertengahan bulan lalu juga meluahkan rasa syukur kerana impian skuad Penyu untuk bersaing dalam kejohanan trofi AFC itu selepas lapan tahun menanti akhirnya tercapai.

Beliau berkata, pemilihan TFC mengisi slot ke saingan piala itu juga bakal menaikkan lagi ranking skuad dari Pantai Timur itu kerana kali terakhir beraksi pada pentas itu pada 2012 selepas muncul juara Piala FA pada 2011 di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

"Kami begitu bersyukur kerana layak beraksi dalam saingan Piala AFC 2021 kerana ini adalah salah satu impian pasukan musim ini.

"Kejayaan ini juga memberi kelebihan kepada pasukan daripada sudut pemain, barisan kejurulatihan, penajaan dan juga juga sektor pelancongan," katanya hari ini.

Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ab Ghani Hassan mengumumkam Piala Malaysia musim ini yang kini memasuki peringkat suku akhir terpaksa dibatalkan berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak rayuan MFL semalam untuk meneruskan kejohanan tertua di Asia itu.

Berikutan itu, MFL memutuskan TFC yang berada di kedudukan ketiga Liga Super musim ini secara automatik akan mendapat slot beraksi dalam saingan Piala AFC 2021.

Ketika ditanya reaksinya selepas Piala Malaysia dibatalkan, Ab Rasid menyatakan semua pihak perlu menerima dugaan itu dengan hati yang terbuka kerana apa yang lebih penting keselamatan semua pihak.

"Demi keselamatan pemain, jurulatih, pegawai dan juga mereka yang terlibat kita perlu akur dengan arahan MKN, tapi daripada sudut peminat, jumlah perlawanan dan martabat piala itu sendiri, kita minta kajian semula supaya ia diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:23 PM